Jalan-jalan dengan keluarga petang tadi membawa kami ke satu perkampungan yang unik di Selangor. Melepasi pinggir sempadan Shah Alam, kami tiba-tiba tembus di satu jalan kecil yang hanya muat satu kereta. Di kiri kanan jalan semacam satu pasar harian kecil.
Yang peliknya dari dalam kereta kulihat barangan yang dijual amat berbeza dari pasar-pasar hari atau pasar malam biasa. Ramai peniaga adalah makcik-makcik yang agak berumur. Yang lelaki ada seorang dua, juga berumur. Barangan jualan termasuk buah asam jawa putik, ikan-ikan pekasam yang masih di dalam balang, ikan-ikan keli yang telah di salai, ikan haruan saiz besar yang dikeringkan, dan ulam-ulam yang tak aku ketahui nama semuanya.
Isteriku tertarik dengan buah asam jawa putik. Bercerau air liurnya bila dibayangkan masam buah itu dengan masin garam di rumah nanti. Mahu tak mahu aku berhenti di tepi jalan yang sempit itu. Apabila pintu dibuka terdengar perbualan peniaga-peniaga dan pembeli-pembeli sesama mereka dengan satu bahasa yang amat asing. Jika hendak dikata pelat Kelantan, jauh sekali. Sekurang-kurang pelat Kelantan yang paling pekat pun mesti aku boleh tangkap beberapa perkataan. Hendak dikata bahasa Jawa atau Acheh pun rasanya tak, sebab bunyinya banyak “pla’k, meng-leng. nau”
Wajah-wajah mereka pula tidak seperti orang Indonesia. Makcik-makcik bertudung bermata sedikit sepet. Anak sulungku bersuara cuba menyumbang idea, “Siam kot?”. “Hmm mungkin” aku hampir mengiakan, tetapi masih ada perbezaan bunyi pertuturan mereka dari bunyi bahasa Siam. Semacam berbeza daripada filem-filem seram Thailand yang pernah ditonton.
“Tak apa lah, pergi tanya sendiri” Aku bingkas keluar.
Aku hampiri satu gerai menjual pekasam. Melihat pelbagai jenis pekasam yang dijual, memang sah makcik ini mahir tentang ikan jeruk bercampur beras goreng ini. Ada dua tiga balang besar mungkin seberat 100 kilogram dengan ikan-ikan pekasam yang masih terperam. Aku bertanya tentang balang kecil, mungkin asalnya sebuah balang kueh mazola. Ikannya kecil-kecil. Pertama kali aku lihat ikan pekasam sebesar ibu jari, penuh satu balang. RM25 ringgit. Tetapi tidak apa, itu memang harga patut makanan ini, dan sekurang-kurang menjadi modal berbual. Makcik gerai ini fasih berbahasa Melayu. Sekali-sekala dia toleh kepada rakannya di sebelah dan bertutur dalam bahasanya.
“Cakap bahasa apa tu makcik?” Aku cuba mula mengorek maklumat.
Makcik tadi tersenyum. Nampaknya dia sedar aku seperti rusa masuk kampung. “Orang Kemboja. Makcik pun dah 30 tahun di sini.”
Terjawablah. Rupa-rupanya inilah Pasar Kemboja yang aku pernah dengar ada orang sebut dahulu. Masyarakat Kemboja di situ berjumlah hampir 200 keluarga. Beragama Islam. Mereka merupakan pelarian perang daripada Kemboja. Paling lama 30 tahun menetap di situ. Ada yang baru sampai.
Nampaknya kesan keperitan perang sudah hilang dari wajah mereka. Rata-rata mereka berbual dengan ceria dan gembira, seolah-olah pasar itu tempat mereka bertemu rakan-rakan dan menguatkan silaturrahim. Gembira mereka aku lihat lebih meriah berbanding orang Melayu di Singapura. Aku rasa masyarakat Kemboja di sini merasa merdeka, orang Melayu Singapura mungkin masih terasa tertindas.
Bagi pembaca yang mahu mencari kelainan di Malaysia aku cadangkan Pasar Kemboja. Bukan sahaja kelainannya pada jualannya, tetapi pada keceriaan pasarnya. Dihujung minggu, aku dengar mereka mengadakan pasar malam Kemboja dengan barang-barang lain dari hasil tangan mereka.
Wallahua’lam.
Feb 10, 2011 @ 16:17:36
kena pergi jugakalau ada masa lapang!.