Baru-baru ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menetapkan seorang pengasuh hanya boleh menjaga 3 orang bayi sahaja, berbanding 5 orang sebelum ini.
Peraturan baru ini mungkin boleh berfungsi sebagai jalan menangani isu-isu kecederaan dan kematian bayi yang selalu dilaporkan akhbar. Taman-taman asuhan kanak-kanak (TASKA) swasta dikehendaki mematuhi arahan ini atau lesen mereka akan ditarik balik, didenda atau ditutup.
Jika dinilai peraturan baru tersebut secara sepintas lalu, memungkinkan kita menaruh harapan kes-kes kecelakaan terhadap bayi di bawah jagaan tidak akan kedengaran lagi. Tetapi malang, kerana realitinya, pendekatan tersebut mungkin tidak berkesan dan malah akan menimbulkan masalah lain.
Jika diteliti setiap kes yang melibatkan kecederaan bayi di bawah jagaan, tidak semua insiden berlaku di TASKA. Walaupun begitu kes-kes yang berlaku di TASKA menjadi perhatian muka depan akhbar dan disensasikan. Padahal lebih kes yang berlaku, termasuk kematian, terjadi ditangan pembantu rumah sendiri, atau di rumah jiran yang mengambil upah menjaga. Justeru, mengadakan peraturan menghadkan jumlah bayi jagaan hanya berkuatkuasa di TASKA sahaja, dan tidak mungkin dikuatkuasakan di rumah ibubapa sendiri atau di rumah-rumah jiran yang mengambil upah menjaga.
Walaupun begitu, mungkin tidak lebih baik menghadkan jumlah jagaan kepada 3 berbanding 5 bayi sebelum ini, kerana kualiti jagaan sebenarnya tidak bergantung kepada jumlah bayi yang dijaga selagi jumlah tersebut munasabah. Kualiti dan keselamatan hanya sebenarnya bergantung kepada kualiti pengasuh dari segi ilmu, pengalaman, kepekaan dan kesungguhan atau motivasi. Tiada gunanya jika seorang pengasuh menjaga hanya seorang bayi pun, jika beliau lebih banyak tidur, atau sibuk memasak atau mengemas daripada menumpu kepada bayi. Kes-kes yang berlaku di rumah ibubapa sendiri bersama pembantu rumah membuktikan kenyataan ini.
Jika pihak jabatan berkeras, lalu mengambil tindakan terhadap pengusaha TASKA yang tidak patuh, satu perubahan sosio-ekonomi dibimbangkan akan berlaku dan mungkin memberi kesan-kesan negatif berikut:-
- Pengusaha TASKA terpaksa menaikkan kadar yuran bulanan untuk menampung kenaikan kos gaji pekerja disamping kos-kos lain seperti sewa bilik, elektrik, air, kursus dan pengurusan. Jika dahulu 5 bayi memerlukan seorang pekerja, kini 2 pekerja diperlukan. Kenaikan ini tidak dapat dielakkan oleh pengusaha, dan ibubapalah yang terpaksa menanggung kadar baru tersebut.
- Atau pengusaha TASKA tidak lagi berminat mengambil bayi sebagai jagaan. Ini kerana pada kadar yuran kebanyakan TASKA sekarang, kadar 3 orang bayi bagi seorang pengasuh tiada tarikan ekonomi. Ada sesetengah TASKA tidak boleh lagi menaikkan kadar yuran bulanan bagi penjagaan bayi, kerana ia tidak lagi munasabah dibanding taraf ekonomi pelanggannya.
- Disebabkan banyak TASKA tidak lagi mampu menyediakan khidmat penjagaan bayi, krisis akan timbul bagi ibu yang bekerja. Akhirnya, jiran-jiran berdekatan yang tidak bekerja akan menjadi tumpuan, mengakibatkan bayi-bayi dijaga di rumah-rumah persendirian yang tentunya hampir semuanya tiada dalam rekod pihak berkuasa. Jika ini berlaku, pemantauan kualiti dan keselamatan dari pihak berkuasa yang bertanggungjawab akan menjadi hampir mustahil, terutama yang beroperasi di kampung-kampung atau flet-flet.
Mungkin pihak bertanggungjawab perlu mengkaji dan memperkenalkan penyelesaian yang lebih realistik, dan tidak hanya menguji pandangan-pandangan atau idea-idea yang kabur dan samar. Mungkin lebih baik bagi JKM, daripada meneka-neka nombor, menumpukan kepada persijilan yang lebih spesifik untuk penjaga-penjaga bayi, lantas hanya individu penjaga yang diiktiraf sahaja dibenarkan beroperasi di pusat-pusat jagaan.
Komen