Dulu aku tak peduli sangat tentang sekularisma, pegangan-pegangan golongan sekular atau amalan-amalan mereka, ataupun, sama ada kehidupan aku sendiri mirip mereka.

Tetapi setelah berpeluang menimba pengalaman dari tokoh-tokoh sekular dan juga agama di Barat (USA), asal-usul dan amalan sebenar sekularisma semakin jelas.

Dahulu aku sangka sekularisma hanya alat untuk mengurus hal-hal dunia dan selain itu, hal-hal agama masih ada ruang bebas untuk diamalkan seperti yang dituntut. Bagiku, dahulu, sekularisma dan agamaku boleh berdiri bersama dalam kehidupan; lengkap-melengkapi.

Aku lihat di USA, negara sekular yang paling gagah, ‘super power’ dunia, masyarakatnya masih boleh menghadiri ‘Church’ setiap minggu. Di Turki, terang-terangan di dalam perlembagaannya tertulis bahawa negaranya adalah negara sekular dan perkara tersebut tidak boleh diubah. Tetapi rakyatnya masih boleh ke masjid. Sewaktu musim umrah, rakyat Turki di Madinah dan Mekah sama banyak dengan rakyat dari Malaysia.

Bagaimanapun, makna ‘sekularisma’ amat jelas: -

“In another sense, it refers to the view that human activities and decisions, especially political ones, should be based on evidence and fact unbiased by religious influence.” – wikipedia

Mudahnya, sekularisma menolak penguasaan agama di dalam kehidupan. Agama tidak mempunyai nilai di dalam menentukan keputusan-keputusan kepada masyarakat. Agama hanya boleh beroperasi di dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh satu sistem sekular. Apabila bertembung kehendak dari sekularisma dan kehendak agama, maka kehendak sekularisma akan mengatasi dan agama dengan sendiri ditekan ke bawah. Bagi mereka, sesiapa dari kalangan mereka yang cenderung kepada ideologi agama merupakan seorang yang telah tercemar fikirannya dan tidak lagi rasional. Ringkasnya ‘Sekularisma’ bermaksud ‘tanpa agama’, atau ‘irreligion’.

Berdasar sejarah, ideologi sekularisma bermula dari golongan yang memberontak terhadap penguasaan pihak gereja terhadap kehidupan masyarakat baik dari segi politik, sosial dan ekonomi. Apabila kumpulan ini berjaya menjatuhkan kekuasaan gereja terhadap kerajaan, mereka memastikan agama tidak lagi boleh mengatasi logik atau fakta yang mereka hujahkan. Penaklukan oleh kuasa-kuasa sekular iaitu Empayar British, Perancis dan Belanda bermula dalam lingkungan abad ke-17 terhadap hampir seluruh dunia telah memaksa negara-negara yang ditakluk mengambil sekularisma sebagai dasar negara, sebelum dimerdekakan.

 

Negara-negara sekular (merah) dan negara-negara yang mempunyai agama rasmi (kuning).

Peta di atas menunjukkan kesan kuasa-kuasa besar sekular terhadap sistem perlembagaan negara-negara dunia. Negara-negara yang ditanda kuning di Asia dan Afrika kebanyakannya menjadikan Islam agama rasmi. Tetapi ini tidak bererti, ia bebas dari cengkaman sekularisma.

Di Malaysia contohnya, agama Islam hanya terpakai di dalam ruang yang diberi oleh perlembagaan dari asas sekular. Banyak nilai-nilai kenegaraan dan masyarakat di dalam agama Islam yang menyinggung ketetapan sistem sekular telah tidak diguna pakai. Malah golongan yang menzahirkan niat untuk meletakkan agama mengatasi penguasaan sekularisma dilabel sebagai pengacau dan ekstrimis. Ringkasnya, di negara ini, politik memerintah agama, dan agama terpaksa tunduk kepada ketetapan politik.

Allah s.w.t menuntut orang yang mempunyai iman mengambil Islam secara menyeluruh.

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara lengkap, janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya ia bagi kamu adalah musuh yang nyata”. Al-Baqarah 208.

Seruan untuk mengambil Islam hanya sebahagian dan memberi kekuasaan kepada selain dari Allah untuk menentukan sebahagian yang lain dalam perkara yang telah Ia tentukan, jelas bertentangan dengan agama. Jika Allah s.w.t telah memberi ketetapan, tentulah ketetapan Nya yang paling baik. Sistem sekularisma, terutamanya demokrasi berparlimen dengan terang dan keras menolak kebijaksanaan Allah s.w.t dalam menentukan hukum-hukum Nya terhadap kehidupan manusia, apabila mereka menetapkan alternatif lain untuk ketetapan-ketetapan tersebut. Bagi mereka, ketetapan mereka lebih bijak, lebih baik dan lebih sesuai. Tiada satu perkataan yang boleh menggambarkan perbuatan-perbuatan ini kecuali ‘syirik’ kepada yang Maha Bijaksana (Al-Hakiim). Negara Islam yang pada dasarnya mengamalkan sekularisma, sebenarnya adalah sebuah negara syirik. Tiada sangsi lagi.

Bagaimanapun golongan yang terlibat di dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negara tersebut tidak semestinya terdiri dari orang-orang yang mensyirikkan Allah s.w.t. Keadaan mereka tentunya tergantung pada niat masing-masing. Jika hati mereka redha dengan sistem sekular tersebut, maka tidak syak lagi akan keadaan mereka itu sama seperti perkara yang mereka redhakan. Tetapi mereka yang terpaksa, atau berada di dalam sistem tersebut hanya untuk mengangkat Islam kembali sebagai “ya’lu” atau paling tertinggi, mengatasi perlembagaan dan parlimen, tentulah ia termasuk salah satu cabang jihad. Semoga mereka sentiasa diberi kekuatan oleh Allah s.w.t. Amin.

Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” Al-Maidah 50.