Ikan Kelah 7

Tinggalkan komen

Ikan Kelah 6 dan Aquaponics

Tinggalkan komen

AlhamduliLlah hari ini mati seekor lagi anak ikan kelah tu. Syukur sebab seekor sahaja yang mati, kalau tak mungkin azabnya berekor-ekor yang maut.

 

Tangki PVC yang baru beli dah siap dipasang dengan sistem paip dan pendawaian elektrik untuk pam dan lampu. Air telahpun diisi sekadar setengah kaki dalam. Apabila pam dihidupkan, masyaAllah, bunyi airnya kuat amat. Risau dibuatnya. Takut mengganggu jiran.

 

Macamana nak buat ni. Kegemaran kelah adalah air yang menderum dan kaya dengan oksigen. Kalau kurangkan deruman kurang ‘happy’ lah anak-anak kelah tu nanti. Tak apalah, itu akan difikirkan kemudian. Untuk sementara, air diuji dengan seekor ikan tengas saiz 4″ yang dibeli di kedai akuarium tempoh hari. Inilah ikan yang dinamakan kelah hijau. Sebenarnya bukan kelah, peniaga akuarium namakannya kelah hijau untuk menaikkan statusnya.

 

Buat masa sekarang kajian tentang tangki ‘filter’ masih dilakukan, untuk memahami cara filter berfungsi dan bahan paling efisien untuk dimasukkan di dalam tangki filter tersebut. Hingga sekarang, lain orang yang aku tanyakan, lain pula falsafah dan kaedahnya. Dari kajian cara orang barat (mereka lebih suka kongsi pengalaman) di internet, isi tangki filter ini boleh pilih antara dua: -

  1. Chemical filter.
  2. Biofilter.

 

Chemical filter, kata mereka, lebih mahal kerana bahan kimia selalunya akan habis bahan aktifnya selepas beberapa lama dan perlu dibuang dan ditukar baru. Antara bahan kimia yang selalu digunakan di dalam akuarium adalah ‘activated carbon’.

 

Biofilter pula menggunakan bahan-bahan yang menjadi rumah bakteria yang berguna menyahkan toksin di dalam air. Antara bahannya adalah ceramic stone, plastik ball, pasir kasar, dan tumbuh-tumbuhan. Biofilter lebih murah, tahan lama dan tiada bahan buangan.

 

Semasa menyelidik berkenaan biofilter, terjumpa satu istilah baru; aquaponics atau akuafonik dalam bahasa Melayu. Ini adalah gabungan aquaculture (penternakan ikan) dan hydroponics (penanaman sayuran di atas air). Di dalam kes ini, sisa buangan ikan yang perlu dinyah dari tangki ikan akan dipam ke sayur-sayuran ini yang akan diserap menjadi baja. Medium tanaman sayur ini akan mengandungi bakteria-bakteria diperlukan untuk menukar Ammonia ke nitrite seterusnya ke nitrate dan akan diserap oleh pokok sayur. Air ini kemudiannya akan kembali ke tangki ikan melalui sifon. Perbandingan isipadu adalah 1:1 iaitu satu isipadu air bersamaan dengan satu isipadu media tanaman.

Malam ini ada satu idea. Tangki baru akan diguna untuk ternak kelah. Tangki lama akan dibuat aquaponics dengan ikan tilapia atau keli. Ikan lain tak berani lagi sebab cerewet tentang kualiti air.

 

 

 

 

 

 

Ikan Kelah 5

Tinggalkan komen

AlhamduliLlah, akhirnya berjaya beli tangki PVC ~6′ x 3.5′ x 2′ (saiz large) dari Cikgu Anuar, batu 10 Ulu Langat. Sebenarnya selain beli tangki, tujuan utama adalah bertemu beliau yang telah berpengalaman semusim menternak dalam tangki ini di rumahnya. Cuma baru-baru ini beliau baru berpindah rumah dan akan berpindah lagi, jadi tangki sebesar ini memeningkan kepala. Bagaimanapun jika mahu beli secara online cuba layari laman ini : http://mgasaqua.webs.com/tangkihdpe.htm , banyak maklumat tentang saiz dan tempahan.

 

Dipendekkan cerita, harga tangki “second hand” ini RM500 + RM200 lori; yang sebenarnya tak banyak berbeza daripada harga tangki Fiberglass baru yang hampir sama saiz dari kedai DIY di Kota Kemuning ini. Sebab utama aku bersungguh-sungguh sewa lori ke Hulu Langat untuk beli dari Cikgu Anuar ini adalah pengalamannya. Inilah peluang bertemu, berkenal dan membina “networking”, semoga bila-bila tersepit dalam bidang baru ini, ada orang yang sudi beri nasihat. Yang seronoknya, bukan setakat tangki, diberinya sekali tangki penapis air bersama aksesori, sistem paip dan penutup tangki (mengelak ikan lompat). Selepas ini bolehlah buat “reverse engineering”.

Dan yang paling berharga perkongsian Cikgu Anuar tentang beberapa tips yang aku tanyakan: -

  • Mana dapat benih?
    • Benih beli dari Khomeini (macam AyatoLlah) dari Kelantan. Benihnya boleh dipercayai semuanya anak ikan kelah merah. Kebanyakan pembekal anak benih kelah di Ulu Langat tak terjamin benih tersebut adalah kelah merah, katanya. Mungkin ia sebenarnya kelah hijau atau tengas, tetapi dijual pada harga kelah merah.
  • Macamana nak kenal ikan kelah merah masa masih kecil (1-2″) ?
    • Sisik dari pandangan atas berbentuk macam calit sarjan.
  • Apa nak masuk dalam filter compartments?
    • 4 compartments. Setiap compartment masuk 3 lapisan filter. Lapisan paling bawah masukkan foam hitam iaitu filter paling halus. Kedua warna putih dan ketiga warna hijau/biru. Setiap bulan bersihkan yang atas sahaja. Lapisan lain tidak perlu di bersihkan terlalu kerap. Compartment kedua letakkan ceramic-cylindar di atas bahan filter. Compartment ketiga letakkan batu-batu sungai untuk menyejukkan air.
  • Beri makan berapa kali sehari?
    • Beri makan 2 kali sehari. Sekali sebelum pergi kerja, sekali waktu malam.
    • Jangan beri makan buah kelapa sawit lagi, atau roti gardenia atau apa-apa yang berminyak hingga saiz hampir 1′.
    • Jika dah besar boleh beri makan kangkung, buah kelapa sawit, buah getah etc.
    • Untuk jinakkan, beri dari tangan, dipenjuru yang sama pada waktu yang sama setiap hari. (ini sebenarnya petua dari Khairul Bt 23).
  • Air macamana?
    • Pastikan air jernih.
    • Pastikan air mengalir.
    • Pastikan air tak panas. Guna batu sungai untuk sejukkan.
    • Pastikan tidak terlalu banyak ikan, kira-kira ikan boleh berenang selapis. (ini juga sebenarnya petua dari Khaitul Bt 23)
  • Boleh tak call kalau nak tanya apa-apa?
    • BOLEH.

Ikan Kelah 4

Tinggalkan komen

Ikan Kelah – King Of The River

Ikan Kelah 3

Tinggalkan komen

Soalan Lazim Mengenai Ikan Kelah


• Ikan Kelah Ini Ikan Air Tawar Atau Masin?

Air tawar dan mengkhusus habitat asalnya di kawasan air terjun, jeram dan sungai atau aliran deras di kawasan pergunungan.
• Keistimewaan?

Amat bernilai kerana rasa yang sedap, hiasan yang cantik dan kehebatan bertarung dalam “sport fishing”. Justeru digelar sebagai “Kings Of The Rivers”, “The King Of Fish”, “The King of Freshwater Sport Fish”, “World Best Freshwater Sport Fish”, “Raja Ikan Air Tawar, “Raja Sungai”, dan “Ikan Sukan” sekali gus harganya termasuk dalam kategori “mahal“. Ringkasnya Ikan Kelah ini digilai kerana untuk tujuan Ikan Sukan, Ikan Hiasan dan Ikan Makan. Ikan Kelah juga mempunyai “Sanctuary” nya yang tersendiri di Taman – Taman Negara.

• Jenis dan Spesis Ikan Kelah Yang Boleh Didapati Di Malaysia?

Berdasarkan kajian penyelidik ikan kelah setakat ini, disimpulkan terdapat 3 jenis ikan kelah di Malaysia, iaitu:
a) Tor Tambra
b) Tor Tambroides
c) Tor Duoronensis
Ikan kelah merah di Semenanjung Malaysia khususnya di Pahang, Terengganu dan Kelantan selalu dirujuk sebagai “Tor Tambroides”.  Spesis “Tor Tambroides” yang sebenar ialah ikan kelah merah yang mempunyai lebihan cuping panjang di bawah mulutnya.

Sementara di Sarawak, ikan yang dirujuk sebagai “Tor Tambroides” ialah ikan empurau. Sementara ikan semah di Sarawak (ikan rasmi negeri Sarawak) dirujuk sebagai spesis “Tor Duoronensis” dan warnanya lebih kehijauan tua ke coklat. Ikan kelah yang kebiruan juga biasa dirujuk sebagai dari spesis “Tor Douronensis” walaupun ianya didapati di Semenanjung Malaysia khususnya dari kawasan Endau. Ikan pelian di Sabah pula dirujuk sebagai spesis “Tor Duoronensis”.

Harus juga diingat bahawa, berdasarkan rekod kajian, hanya ikan kelah dari jenis “tor tambroides” dan “tor tambra” sahaja yang boleh membesar sehingga melebihi 1 meter.

• Bagaimana Pula Dengan Ikan Tengas Dan Kejor?
Ikan tengas dan kejor ialah 2 spesis ikan yang hampir menyamai ikan kelah. Jika tidak mahir, anda boleh terkeliru antara kelah dan tengas/kejor. Nama saintifik ikan tengas ialah “Neolissochilus Hexagonolepis”. Ikan tengas ini juga biasa dipanggil sebagai “tengas batu”. Sementara ikan kejor ialah “Neolissochilus Soroides”.  Ikan tengas daun pula diklasifikasikan sebagai ” Poropuntius Smedleyi”.

• Adakah Ia bersifat Karnivor, Herbivor Atau Omnivor?
Omnivor. Maksudnya Ikan Kelah makan semua, dia makan binatang lain (yang lebih kecil), dia makan tumbuh tumbuhan (yang terpilih) dan buah-buahan (yang terpilih).

• Bolehkah Ikan Kelah Diternak?

Boleh. Ikan Kelah boleh diternak di dalam kolam tanah, tangki, kanvas mahupun kolam simen dengan syarat adanya pergerakan air.

• Berapa lama ikan kelah ini mencapai umur matang/boleh dijual?
Bergantung kepada dari saiz berapa anda ternak, untuk apa anda ternak, iaitu sama ada untuk tujuan ikan makan atau ikan hiasan? Jika untuk tujuan ikan makan perlu mencapai berat 1Kg untuk boleh dijual di restoran. Jika anda bermula dari saiz 4 inci, anda memerlukan purata 2 – 3 tahun untuk mencapai berat tersebut.

Jika untuk tujuan ikan hiasan, bila bila pun jika ada pelanggan nak beli, anda boleh jual dengan harga yang baik sekali tanpa perlu menunggu untuk mencapai berat 1Kg, kerana untuk tujuan ikan hiasan, biasanya dijual berdasarkan saiz inci panjangnya seseekor ikan kelah itu.

• Harga pasaran?
Pada masa sekarang, harga ikan kelah hidup untuk tujuan makan – restoran ialah RM80/Kg borong – mati dan RM150/Kg borong – hidup. Sementara untuk tujuan hiasan antara RM500/Kg ke RM1000/Kg.

• Muatan untuk kolam 10 kaki X 10 kaki?

Jika anak benih ikan kelah bersaiz 2 ke 6  inci, 1 kaki padu boleh memuatkan 10 ekor. Jika ikan kelah telah bersaiz 1 kaki, maka 1 kaki padu boleh memuatkan 1 ekor sahaja. Dari situ, anda boleh merancang berapa besar kolam ternakan yang ingin anda bina.

• Jenis-jenis Ikan?
Sebenarnya, apabila disebut “ikan kelah” memang merujuk “ikan kelah merah” yang taburannya di sekitar Pahang, Terengganu dan Kelantan. Sementara “ikan kelah biru” jarang ditemui dan secara geografi, taburannya biasa di kawasan Endau-Rompin. Sementara “ikan kelah hijau” adalah panggilan nama yang diguna-pakai oleh orang orang Cina (peminat dan penternak) untuk merujuk sebenarnya kepada “ikan tengas”, iaitu satu spesis yang mirip mirip kelah, dan juga dipanggil sebagai “false mahseer”.

   untitled-2 untitled-3

Disalin dari http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/311-info-ringkas/6336-kelah-qking-of-the-riverq.html

Ikan Kelah 2

Tinggalkan komen

Day 3: Seekor dah mati. AlhamduliLlah Khairul beri lebih dari 100 ekor hari tu walaupun bayar untuk 100 saja. Moga murah rezqi dia.

Menurut pembekal anak-anak kelah ini, Khairul Sg. Lui, ada dua perkara perlu dijaga:-
  1. Air mesti jernih dan laju macam sungai.
  2. Lebih baik ikan berlapar dari mati kekenyangan.

 

Hari ini panik sedikit. Ada dua tangan yang memberi makan pada masa berlainan. Kemungkinan ‘overfeed’. Kita lihat apa akan berlaku. Lain kali buat rule, seorang sahaja dibenarkan beri makan.

Ikan Kelah 1

Tinggalkan komen

Entah apa mimpi isteriku tersayang dalam diam di pesannya satu set akuarium dari si Emi yang bersemangat bersesak di Jalan Pasar, syurga ikan hiasan katanya. Malangnya cuma akuarium, penapis dan lampu sahaja yang dibawa balik. Ikan-ikan dan hiasan lain, aku juga yang terpaksa fikir.

Dah bertahun-tahun di rumah tiada akuarium. Biasalah. Minat pada ikan hiasan ini selalunya bermusim. Dahulu bila pergi ke rumah kawan-kawan dan nampak akuarium cantik sedikit, lepas tu bersemangat pula kawan tersebut bercerita, bersemangat pulalah aku mewujudkan akuarium di rumah. Isteriku selalu tak masuk campur, hanya sekali dua dalam seminggu akan dikomennya tentang ikan yang tak cantik, lapar atau mati terbiar. Makannya pulak kalau bukan tangan aku yang memberi, tangan aku jugalah yang membersihkan akuarium yang cepat kotor. Kadang-kadang sampai ikan tercungap-cungap di bawah permukaan.

Selepas dua bulan dan beberapa puluh kematian (ikan), akuarium mula jadi sesuatu yang membebankan. Akuarium di rumah seolah-olah pusat ikan bersara dan menuju pusara. Apa tidaknya, setiap ikan yang masuk, semuanya akan berakhir hayat di sini, sama ada cepat atau lambat. Kalau dijumlah ringgit yang dikeluarkan untuk menguruskan perkuburan ikan ini, mahu lebih dari 300 ringgit. Akuarium kaca yang lima keping kacanya digam dengan pelekat silikon mula meleleh air lalu berkumpul melicinkan lantai. Apabila kekusutan bertambah, maka saat melihat akuarium yang diletak di luar pagar dipungut oleh lori sampah, memberi banyak kelegaan.

Dipendekkan cerita, kembalilah rumahku berakuarium gara-gara minat baru isteriku. Malangnya akuarium itu terpasang kosong, tanpa ikan selama beberapa hari, menunggu aku juga untuk tindakan selanjutnya. Lalu bermulalah jelajah mencari ikan-ikan yang sesuai dengan akuarium yang tak sebesar mana, dan sesuai dengan mata permaisuri di rumah. Semestinya “Datin Sri” dibawa sekali.

Sedang beliau melilau memilih, aku tarpaku pada anak ikan kelah hijau saiz 4″ berharga RM6. Dah beberapa tahun aku dengar tentang ikan sungai yang diakuariumkan ini. Dengar-dengar harganya mahal. Kalau dahulu yang mahal adalah ikan Arowana (kelisa) dan Flower-Horn (tidak lagi sekarang), tetapi sekarang ikan Kelah adalah sebahagian dari menu baru penggemar ikan eksotik elit. Harapnya ia tak jadi kegilaan sementara macam ikan Flower-Horn apabila harganya jatuh tanpa ‘parachute’ bila semua orang tahu cara dibiakkan. Beza ikan kelah ini berbanding yang lain, adalah ikan kelah juga menjadi menu lazat di restoran-restoran. Harga sekilo mungkin dari RM150 hingga RM700, bergantung hidup atau mati, warna, dan diternak untuk makan atau untuk hiasan. Dua ekor dicuba.

Dari sembang-sembang dan selak-selak internet, rupa-rupanya penternakan kelah ini, sama ada untuk makan atau hiasan telah mula hangat. Di mudah.com.my ada orang-orang yang menjadikan sumber pendapatan menangkap anak-anak kelah kecil di sungai-sungai di Pahang untuk dibekalkan pada penternak-penternak. Dari situlah aku akhirnya menghubungi Adik Khairul (nama penuh tak tahu) nun di ceruk Sungai Lui, Hulu Langat. Memandangkan anak-anak ikan ini perlu diambil di rumah beliau sendiri, maka aku lebih yakin, yang beliau amat jujur kerana selalunya orang yang tak jujur tak berani mendedahkan alamat sebenar.

Anak-anak kelah 1" (gambar dari facebook/ikankelah.com

Ikan kelah merah yang sudah dewasa.

Dari cerita dan tunjukajarnya, sahlah beliau memang seorang yang berpengetahuan dalam tentang ikan ini, walaupun mungkin bukan pakar. Katanya, beliau menangkap anak ikan kelah ini sejak berumur 9 tahun lagi, dah mampu membezakan jenis-jenis ikan ini walaupun ketika sebesar batang mancis. Yang dijualnya hanyalah kelah merah. Ditunjukkan juga cara membezakan kelah merah dan ikan tengas. Ikan tengas hanya boleh membesar maksimum 20cm, walhal ikan kelah boleh mencapai 1 meter. Bagi mata yang tak berpengalaman, anak ikan tengas dan kelah nampak sama sahaja. Hatta ikan remaja yang sama saiz pun nampak sama sahaja pada mata aku.

“Anak ikan kelah merah sepanjang 1 inci akan mempunyai satu titik hitam dipangkal cabang ekornya” kata Khairul, lalu ditunjukkan apa yang dimaksudkannya.

Ikan kelah sebelah kiri, ikan tengas sebelah kanan (pandangan bawah mulut)

Jadi sesuai dengan bajet percubaan, aku membeli 100 ekor anak ikan kelah merah. Berikut adalah catatan pengalaman membesarkan ikan Kelah merah sebagai rekod rujukan sendiri. Jika aktiviti ini  membawa pulangan besar dan kepuasan, tentu ia berbaloi untuk dibuat pada skala lebih besar, maka catatan inilah yang akan dimanfaatkan. Bagi anda yang terbaca catatan ini, dipersilakan mengambil iktibar dan jangan lupa kongsi pengalaman di ruang komentar.

Maka bermulalah aktiviti menternak ikan kelah:-

18 Feb 2012. Anak-anak ikan kelah merah berjumlah 100 ekor (RM8 seekor) dari Pahang, dibeli di Batu 23, Sungai Lui, Hulu Langat. Percubaan pertama semoga memberi pengalaman dan pengajaran.

Gambar atas adalah kolam anak kelah Khairul. Pokok air untuk mengurangkan kadar ammonia/nitrit dalam air yang disebabkan oleh buangan ikan.
Ikan seperti biasa dimasukkan ke dalam plastik berudara. Cara persediaan dan memasukkan ke dalam tangki di rumah :-
  1. Pastikan air telah ada dalam tangki beberapa hari dengan pam dan sistem penapisan berjalan lengkap. Maknanya air, penapis, dll dah jadi stabil dan air tidak lagi berubah dari segi PH, kandungan klorin, suhu, mineral dsb. Membuat perubahan ketika ikan sudah berada dalam tangki mungkin akan mengejutkan ikan lalu melemahkan ikan. Kematian beramai-ramai mungkin berlaku.
  2. Pam untuk filter mesti sekurang-kurangnya 3 kali kekuatan jumlah air dalam tangki. Kalau tangki misalnya ada 200 liter air (tangki bulat hitam air domestik, diisi 1/2 kaki air) , maka kekuatan pam mesti sekurang-kurangnya 600l/minit.
  3. Masukkan plastik yang mengandungi ikan semuanya ke dalam tangki baru. Biar terapung tanpa dibuka selama sekurang-kurangnya 30 minit untuk menyamakan suhu air dalam tangki dan air dalam plastik.
  4. Selepas itu buka plastik dan campur air tangki sedikit-sedikit ke dalam plastik. Ini untuk membiasakan ikan dengan perubahan rasa, bau, PH, dan mineral air tangki. Selepas itu baru lepaskan ikan ke dalam tangki dengan membiar ia berenang sendiri keluar.

Pokok tak dimasukkan lagi untuk tangki baru di atas. Dari pengalaman lalu mengurus akuarium, jika silap pokok, mata ikan akan jadi sembab macam orang bangun tidur dan akhirnya mati.

Day 2: Dalam tergesa-gesa sistem penapisan air, yang baru dibeli dari Xian Leng Shah Alam, dipasang belakang rumah. Tangki air adalah lebihan projek cendawan yang tak menjadi dahulu.

Air laju seperti sungai berjeram menyerupai habitat kelah adalah lebih baik (Pam GA2000 -GINGA 2000l/min).

Bersambung…InsyaAllah.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.