Entah apa mimpi isteriku tersayang dalam diam di pesannya satu set akuarium dari si Emi yang bersemangat bersesak di Jalan Pasar, syurga ikan hiasan katanya. Malangnya cuma akuarium, penapis dan lampu sahaja yang dibawa balik. Ikan-ikan dan hiasan lain, aku juga yang terpaksa fikir.
Dah bertahun-tahun di rumah tiada akuarium. Biasalah. Minat pada ikan hiasan ini selalunya bermusim. Dahulu bila pergi ke rumah kawan-kawan dan nampak akuarium cantik sedikit, lepas tu bersemangat pula kawan tersebut bercerita, bersemangat pulalah aku mewujudkan akuarium di rumah. Isteriku selalu tak masuk campur, hanya sekali dua dalam seminggu akan dikomennya tentang ikan yang tak cantik, lapar atau mati terbiar. Makannya pulak kalau bukan tangan aku yang memberi, tangan aku jugalah yang membersihkan akuarium yang cepat kotor. Kadang-kadang sampai ikan tercungap-cungap di bawah permukaan.
Selepas dua bulan dan beberapa puluh kematian (ikan), akuarium mula jadi sesuatu yang membebankan. Akuarium di rumah seolah-olah pusat ikan bersara dan menuju pusara. Apa tidaknya, setiap ikan yang masuk, semuanya akan berakhir hayat di sini, sama ada cepat atau lambat. Kalau dijumlah ringgit yang dikeluarkan untuk menguruskan perkuburan ikan ini, mahu lebih dari 300 ringgit. Akuarium kaca yang lima keping kacanya digam dengan pelekat silikon mula meleleh air lalu berkumpul melicinkan lantai. Apabila kekusutan bertambah, maka saat melihat akuarium yang diletak di luar pagar dipungut oleh lori sampah, memberi banyak kelegaan.
Dipendekkan cerita, kembalilah rumahku berakuarium gara-gara minat baru isteriku. Malangnya akuarium itu terpasang kosong, tanpa ikan selama beberapa hari, menunggu aku juga untuk tindakan selanjutnya. Lalu bermulalah jelajah mencari ikan-ikan yang sesuai dengan akuarium yang tak sebesar mana, dan sesuai dengan mata permaisuri di rumah. Semestinya “Datin Sri” dibawa sekali.
Sedang beliau melilau memilih, aku tarpaku pada anak ikan kelah hijau saiz 4″ berharga RM6. Dah beberapa tahun aku dengar tentang ikan sungai yang diakuariumkan ini. Dengar-dengar harganya mahal. Kalau dahulu yang mahal adalah ikan Arowana (kelisa) dan Flower-Horn (tidak lagi sekarang), tetapi sekarang ikan Kelah adalah sebahagian dari menu baru penggemar ikan eksotik elit. Harapnya ia tak jadi kegilaan sementara macam ikan Flower-Horn apabila harganya jatuh tanpa ‘parachute’ bila semua orang tahu cara dibiakkan. Beza ikan kelah ini berbanding yang lain, adalah ikan kelah juga menjadi menu lazat di restoran-restoran. Harga sekilo mungkin dari RM150 hingga RM700, bergantung hidup atau mati, warna, dan diternak untuk makan atau untuk hiasan. Dua ekor dicuba.
Dari sembang-sembang dan selak-selak internet, rupa-rupanya penternakan kelah ini, sama ada untuk makan atau hiasan telah mula hangat. Di mudah.com.my ada orang-orang yang menjadikan sumber pendapatan menangkap anak-anak kelah kecil di sungai-sungai di Pahang untuk dibekalkan pada penternak-penternak. Dari situlah aku akhirnya menghubungi Adik Khairul (nama penuh tak tahu) nun di ceruk Sungai Lui, Hulu Langat. Memandangkan anak-anak ikan ini perlu diambil di rumah beliau sendiri, maka aku lebih yakin, yang beliau amat jujur kerana selalunya orang yang tak jujur tak berani mendedahkan alamat sebenar.

Anak-anak kelah 1" (gambar dari facebook/ikankelah.com

Ikan kelah merah yang sudah dewasa.
Dari cerita dan tunjukajarnya, sahlah beliau memang seorang yang berpengetahuan dalam tentang ikan ini, walaupun mungkin bukan pakar. Katanya, beliau menangkap anak ikan kelah ini sejak berumur 9 tahun lagi, dah mampu membezakan jenis-jenis ikan ini walaupun ketika sebesar batang mancis. Yang dijualnya hanyalah kelah merah. Ditunjukkan juga cara membezakan kelah merah dan ikan tengas. Ikan tengas hanya boleh membesar maksimum 20cm, walhal ikan kelah boleh mencapai 1 meter. Bagi mata yang tak berpengalaman, anak ikan tengas dan kelah nampak sama sahaja. Hatta ikan remaja yang sama saiz pun nampak sama sahaja pada mata aku.
“Anak ikan kelah merah sepanjang 1 inci akan mempunyai satu titik hitam dipangkal cabang ekornya” kata Khairul, lalu ditunjukkan apa yang dimaksudkannya.

Ikan kelah sebelah kiri, ikan tengas sebelah kanan (pandangan bawah mulut)
Jadi sesuai dengan bajet percubaan, aku membeli 100 ekor anak ikan kelah merah. Berikut adalah catatan pengalaman membesarkan ikan Kelah merah sebagai rekod rujukan sendiri. Jika aktiviti ini membawa pulangan besar dan kepuasan, tentu ia berbaloi untuk dibuat pada skala lebih besar, maka catatan inilah yang akan dimanfaatkan. Bagi anda yang terbaca catatan ini, dipersilakan mengambil iktibar dan jangan lupa kongsi pengalaman di ruang komentar.
Maka bermulalah aktiviti menternak ikan kelah:-
18 Feb 2012. Anak-anak ikan kelah merah berjumlah 100 ekor (RM8 seekor) dari Pahang, dibeli di Batu 23, Sungai Lui, Hulu Langat. Percubaan pertama semoga memberi pengalaman dan pengajaran.
Gambar atas adalah kolam anak kelah Khairul. Pokok air untuk mengurangkan kadar ammonia/nitrit dalam air yang disebabkan oleh buangan ikan.
Ikan seperti biasa dimasukkan ke dalam plastik berudara. Cara persediaan dan memasukkan ke dalam tangki di rumah :-
- Pastikan air telah ada dalam tangki beberapa hari dengan pam dan sistem penapisan berjalan lengkap. Maknanya air, penapis, dll dah jadi stabil dan air tidak lagi berubah dari segi PH, kandungan klorin, suhu, mineral dsb. Membuat perubahan ketika ikan sudah berada dalam tangki mungkin akan mengejutkan ikan lalu melemahkan ikan. Kematian beramai-ramai mungkin berlaku.
- Pam untuk filter mesti sekurang-kurangnya 3 kali kekuatan jumlah air dalam tangki. Kalau tangki misalnya ada 200 liter air (tangki bulat hitam air domestik, diisi 1/2 kaki air) , maka kekuatan pam mesti sekurang-kurangnya 600l/minit.
- Masukkan plastik yang mengandungi ikan semuanya ke dalam tangki baru. Biar terapung tanpa dibuka selama sekurang-kurangnya 30 minit untuk menyamakan suhu air dalam tangki dan air dalam plastik.
- Selepas itu buka plastik dan campur air tangki sedikit-sedikit ke dalam plastik. Ini untuk membiasakan ikan dengan perubahan rasa, bau, PH, dan mineral air tangki. Selepas itu baru lepaskan ikan ke dalam tangki dengan membiar ia berenang sendiri keluar.

Pokok tak dimasukkan lagi untuk tangki baru di atas. Dari pengalaman lalu mengurus akuarium, jika silap pokok, mata ikan akan jadi sembab macam orang bangun tidur dan akhirnya mati.
Day 2: Dalam tergesa-gesa sistem penapisan air, yang baru dibeli dari Xian Leng Shah Alam, dipasang belakang rumah. Tangki air adalah lebihan projek cendawan yang tak menjadi dahulu.
Air laju seperti sungai berjeram menyerupai habitat kelah adalah lebih baik (Pam GA2000 -GINGA 2000l/min).
Bersambung…InsyaAllah.
Komen