Perniagaan amat dituntut di dalam Islam. Ia baik untuk si peniaga mendapat keuntungan; baik untuk pelanggan mendapatkan barangan atau khidmat dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan tamaddun. Peniaga yang ikhlas, tulus dan penuh integriti merupakan aset kepada masyarakat manusia. Khidmatnya akan dihargai kerana memudahkan urusan kehidupan.
Hari ini anda boleh makan apa sahaja yang dihajati kerana adanya peniaga. Boleh juga menggunakan barangan yang tidak mungkin boleh dibuat dengan sendiri. Tanpa peniaga mungkin kita masih menggunakan kulit kayu sebagai pakaian atau baru pulang dari membajak sawah pada waktu ini.
Untuk menjadi satu dahan dari tamaddun, peniaga mestilah bersifat ‘adil’. ‘Adil’ bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya. ‘Adil’ di dalam perniagaan bermakna memberikan barangan atau khidmat seperti yang dijanjikan, tiada kurang dan tiada lebih. Khidmat dan barangan dijanjikan dengan sifat, kuantiti dan kualiti tertentu. Apabila sifat, kuantiti dan kualiti barangan atau khidmat dijanjikan, harga dirunding dan ditetapkan. Peniaga akan menyampaikan produk perniagaannya dan pembeli menyampaikan bayarannya. Peniaga berpuas hati dan pembeli berpuas hati. Pembeli akan menghargai dan menghormati peniaga dan begitulah sebaliknya peniaga akan hargai pelanggannya. Keadilan yang melata dan meluas akan menghidupkan masyarakat yang makmur.
Adapun keberkatan di dalam perniagaan tercapai melalui ‘ihsan’. Adapun peniaga yang memberikan lebih dari yang dijanjikan atau diharapkan pelanggan tanpa tambahan bayaran telah melakukan ‘ihsan’. Pembeli pula berihsan dengan membayar lebih dari yang sepatutnya. Kedua-dua keadaan ini hendaklah berlaku dengan rela dan ikhlas, kerana jika penipuan atau paksaan berlaku ia tentunya tercela dan bukan ihsan.
“Sesungguhnya Allah s.w.t menyuruh kamu berlaku adil dan ihsan...” Al-Quran An-Nahl ayat 90
Komen